





....
Itu dia, di saat-saat ketandusan dan kegersangan. Telah diterbitkan 6 buah komik dibawah label Komik M oleh PTS. Akan berada dilancarkan di KLIBF2009.
Selepas kemunculan Kecempreng-Man, PTS bakal memasarkan komik superhero tempatan dengan judul Liga Pendekar. Komik Liga Pendekar ditulis dan dilukis oleh Muhamad Azhar Abdullah, lebih mesra dikenali Azharmaa dikalangan rakan-rakan penggiat komik tempatan. Liga Pendekar merupakan novel grafik pertama beliau, Azhar seorang penggiat komik tempatan yang disegani, juga Presiden PeKOMIK. Walaupun beliau seorang peminat komik US/Jepun, namun masih mengutamakan nilai-nilai tempatan.
Kesibukan tugasan harian beliau sebagai seorang lecturer di sebuah institusi tidak membantutkan usaha memperjuangkan seni komik
'Kartun Internet' dan mewarna menggunakan teknologi komputer ialah sebahagian transformasi industri komik di Malaysia dalam tempoh 50 tahun.
DI Malaysia, komik mula wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi. Salah seorang pelukis komik veteran ialah Nek Norzarah Abdullah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Nora. Beliau melukis komik sejak tahun 1954 lagi.
"Penceritaan komik ketika itu lebih tertumpu kepada kehidupan rumah tangga yang pada zaman sebelum merdeka. Ia turut diadun dengan unsur-unsur dongeng lama.
"Masuk tahun 1970-an, perubahan masyarakat dan pembangunan yang semakin pesat serba sedikit mengubah landskap komik tempatan.
"Apabila hutan belantara mula dikacau dengan pembangunan, saya ada menyatakan kebimbangan tersebut menerusi komik," katanya yang kini aktif melukis potret.
Tidak jauh bezanya dengan kegilaan terhadap muzik, minat orang ramai terhadap komik beredar mengikut putarannya.
Memulakan kerjaya selaku pelukis komik pada lewat era 1970-an, Presiden Persatuan Kartunis Malaysia (Pekartun), Tazidi Yusof berkata komik pada 1980-an lebih tertumpu kepada apa yang disukai pembaca.
"Misalnya, majalah Gila-Gila mempunyai pembaca sasaran termasuk suri rumah, remaja dan tentera.
"Maka penceritaan komik akan berkisar kepada kehidupan golongan ini. Jadi ada ruangan Prebet Lapuk oleh Pak Rejab untuk polis dan tentera," kata Tazidi.
Komik untuk golongan muda-mudi dihasilkan oleh pelukis komik seperti A. Mahmud dan Fatah. Sementara pelukis komik terkenal, Ujang, tumpuan karyanya lebih kepada pelajar sekolah dan universiti.
![]() |
TEKNIK melukis dan mewarna semakin mudah dengan bantuan perisian janaan komputer. |
Justeru, apabila majalah yang diterbitkan dua kali sebulan ini dipasarkan, ia memenuhi kehendak semua lapisan masyarakat. Tidak hairanlah jika jualan Gila-Gila mencecah 150,000 setiap kali diterbitkan.
Sambutan terhadap komik ketika itu sangat memberangsangkan. Pihak penerbit tidak perlu bimbang mengenai aspek jualan.
Namun, situasi ini mengalami transisi pada tahun 1990-an apabila temponya sedikit perlahan berikutan kemunculan teknologi Internet.
Komik dan kartun dengan mudah dapat dibaca dan dilihat secara dalam talian. Pembaca tidak perlu bersusah payah lagi pergi ke kedai untuk membeli majalah komik.
![]() |
ROHAIZAD |
Justeru, cabaran pelukis komik sekarang ialah mereka perlu melukis dengan lebih tepat, cepat dan cantik.
Malah cara melukis juga telah berubah. Sekarang, melukis komik boleh dibuat menggunakan komputer ataupen teknikal.
"Dahulu pelukis cuma pakai berus dan pen celup. Tak terfikir pun untuk guna alat lain. Ia tidak dianggap sebagai seni dan sekadar lakaran. Kini, dengan pensel kita boleh buat macam-macam.
"Perubahan lawak pula, nak katakan sekarang sedikit kasar, dahulu dalam filem P. Ramlee lawaknya pun ada juga yang kasar.
"Tapi apa yang boleh saya katakan secara keseluruhannya ialah feel dalam menghasilkan karya sekarang kurang sedikit," kata ikon komik tempatan, Datuk Lat.
![]() |
|
Pengarah Seni majalah komik Hype dan Utopia, Julian Kam pula berpendapat ramai peminat komik tempatan mula terpengaruh dengan karya komik-komik Barat seperti X-Men, Spiderman dan Batman pada 1990-an.
Era itu juga bermulanya trend mengadaptasi komik ke layar perak. Bermula dengan filem Batman dan ia berlanjutan kini dengan filem Iron Man.
"Ia juga memperlihatkan permulaan seni digital. Maknanya, banyak komik diwarnakan secara digital, bukan manual, manakala kualiti warnanya semakin baik.
"Satu lagi ialah populariti komik Manga dari Jepun. Manga sudah lama berakar umbi dalam masyarakat Jepun dan orang Cina di Malaysia.
"Gaya penceritaan komik sekarang juga dipengaruhi oleh Manga sedangkan pada tahun 1980-an, kita jarang sekali mendengar mengenai Manga.
"Para penerbit turut menterjemahkan komik Manga ke bahasa Melayu dan Cina, sekali gus meningkatkan lagi pengaruh komik manga," ujar Julian yang turut dikenali sebagai Lefty.
![]() |
PENGARUH Manga dari Jepun turut meresapi kartunis Malaysia. |
Perkembangan pesat penggunaan Internet dan keghairahan banyak syarikat melabur dalam perniagaan secara online turut memberi ruang kepada lebih ramai pelukis komik menerbitkan hasil karya di Internet dan menerima bayaran.
Dari segi perbezaan antara komik Melayu dan Cina, Lefty berpendapat komik Melayu humornya lebih melampau dengan ekspresi muka dan reka bentuk karakternya kadangkala berlebih-lebihan.
"Komik Cina pula cenderung untuk melukis watak-wataknya dengan cantik. Ia juga sangat terpengaruh dengan komik Jepun, sebab itulah karekternya lebih cantik," katanya yang mengakui ketiadaan komik Tamil adalah satu misteri.
Biarpun baru dalam dunia komik, Sufi Norliyana Mohd Sufian, 23, membayangkan memang wujud perbezaan ketara antara komik pada era-era tertentu.
Komik pada tahun 1980 dan 1990-an lebih kepada unsur humor, sementara komik pada tahun 2000 mempunyai elemen fantasi yang kental dan banyak dipengaruhi oleh unsur komik Manga.
"Sasaran penghasilan komik lebih kepada komersial. Contohnya, komik Manga adalah satu kegilaan baru, jadi semua orang hendak ikut gaya itu. Rasanya ia bermula dengan kemasukan komik-komik Jepun seperti Dragon Ball dan Naruto.
"Tetapi pengaruh komik Amerika juga kuat, terutamanya komik berbaur sains fiksyen. Zaman komik Gila-Gila kepada Gempak Starz, besar sekali bezanya.
"Bukan sekadar gaya lukisan, malah jalan cerita. Dulu, penceritaan komik lebih kepada kehidupan seharian, manakala komik sekarang menekankan kepada unsur fantasi kerana ia lebih versatil," kata Sufi Norliyana yang sudah lama mengumpul koleksi komik-komik Marvel.
![]() |
PEMINAT komik masih ramai tetapi kartunis mesti lebih kreatif dalam karya mereka. |
Baru beberapa tahun berkecimpung dalam dunia penghasilan komik, Rohaizad Ghalid, 26, berpendapat orang ramai sudah boleh menerima komik sebagai satu medium bacaan, sedangkan dahulu ia dianggap sebagai bahan untuk kanak-kanak.
Sudah wujud juga gelombang baru apabila melukis komik telah menjadi satu kerja yang ada standard. Ramai sekali anak-anak muda yang mahu terlibat dalam industri komik.
"Namun, realiti di Malaysia, budak-budak yang baru hendak mula melukis, membayangkan populariti. Tetapi realitinya artis komik tidak ada kelas dan kurang diiktiraf," katanya.
Komik genre baru
“DI Jepun ada satu jenis teknik lukisan yang terkenal di seluruh dunia iaitu Manga. Jadi, mana-mana pelukis yang mahu terlibat dalam lukisan komik Manga, maka Manga lah. Macam mana hendak jadikan Manga dengan identiti Malaysia? Tidak boleh!,” ujar Datuk Lat.
![]() |
LAT kini ikon komik tempatan. |
Justeru, sesiapa yang mahu melihat komik atau kartun yang memiliki identiti Malaysia mungkin boleh merujuk kepada komik Kampung Boy. Jelas Datuk Lat, Kampung Boy yang dihasilkannya itu memberi fokus kepada kehidupan masyarakat di kampung.
“Dulu, masa buat komik pasal budak kampung, kampung sering dikaitkan dengan kemunduran. Tetapi saya mahu menonjolkan keistimewaan kampung, seperti tatatertib hidup masyarakatnya dan kepatuhan anak kepada ibu bapa.
“Untuk menjadikan penceritaan lebih menarik, saya selitkan dengan permainan tradisional, hobi budak-budak kampung dan aktiviti mereka di sungai,” tambahnya sambil tersenyum.
Bersikap lebih liberal, seorang lagi orang lama dalam dunia komik yang dikenali dengan nama Kerengge menyatakan dia lebih suka membiarkan para pelukis komik generasi baru agar mencuba kecenderungan lukisan masing-masing.
“Apa yang penting, selepas itu mereka reka stroke (gaya lukisan) sendiri. Apabila sudah ada stroke yang dominan, orang akan boleh terima. Apatah lagi dengan teknologi yang ada, pelukis berbakat boleh pergi global.
“Satu masa dahulu, pasaran komik agak terhad. Sekarang, pelukis Malaysia boleh ambil tugasan dari Amerika atau Jepun. Pelukis ada peluang untuk cari makan dengan komik.
![]() |
KERENGGE |
“Buatlah cara apa pun, selagi ia boleh diterima. Cuma kadangkala masyarakat anggap komik tempatan sudah dilacurkan. Bagi saya, berikan kebebasan mereka untuk berkarya. Pada masa yang sama perbaiki stroke dan jalan cerita,” katanya.
Kerengge menyifatkan komik memiliki kebebasan dengan pelbagai genre termasuklah kepahlawanan, misteri dan tidak berkisar pada satu isu sahaja. Elemen-elemen inilah yang membuatkan komik terus diminati dan mendorong semakin ramai artis untuk melukis.
Seorang lagi pelukis komik dan kartun, Roslim Jamil menyatakan lukisan komik dahulunya agak ringkas dengan gaya lukisan yang sedikit ‘longgar’. Bermula dengan Ujang, lukisan komik menjadi semakin terperinci, gambarnya penuh dengan latar dan berwarna-warni, katanya.
Artikel dan gambar milik Kosmo