Thursday, June 26, 2008

Resensi Liga Pendekar-Pakatan Adiwira

Setelah membacanya berulangkali, 3 kali rasanya. Resensi ini turut diletakkan di pergh.com semalam. Oleh itu, hari ini sedikit kelapangan untuk meletakan di entri ini.


Judul: Liga Pendekar-Pakatan Adiwira
Penulis/Pelukis: Azhar Abdullah
Ilustrasi luar: Aadi Salman
Penerbit: PTS Millinea
Tahun : Mei 2008
Halaman: 100 muka surat dan 14 muka tambahan
Format: hitam putih
Harga: RM7.90



Liga Pendekar-Perikatan Adiwira, mengabungkan lagenda tanah air dalam satu legasi menentang kejahatan dari dunia kegelapan alam jin. Dengan garapan jalan cerita yang santai dan bersahaja, penulis dan pelukisnya Azhar Abdullah memperkenalkan karekter Pak Tua , seorang tokoh pendekar zaman kesultan Melayu Melaka yang menghilangkan diri. Menjalani kehidupan seperti orang biasa, Pak Tua dijejaki oleh Malim Deman, seorang bangsawan yang boleh berinteraksi dalam dunia Bunian. Kehilangan Hang Tuah dari dunia pahlawan bersama keris Taming Sari, memberi peluang kepada musuh-musuh dan termasuk para jin untuk menghancurkan Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka.

Kebayan, pula dikatakan amat mengenali Pak Tua, dari segi metafisik melalui telepatinya Mungkin secara tidak sedari para pembaca, Kebayan inilah yang pernah Hang Tuah temui dalam satu peristiwa Meminang Puteri Gunung Ledang bagi baginda Sultan Mahmud. Dengan mempunyai ilmu ghaib, mahir dalam perubatan, Kebayan berjaya membawa Liga Pendekar yang diketuai Malim Deman, Awang Kenit, Orang Minyak, Badang, Sang Kelembai dan Tanggang ke dunia gelap yang dihuni para pengikut Jum Ba Lang (Jembalang).

Membaca komik Liga Pendekar-Pakatan Adiwira ini, mengingatkan penulis kepada stroke pelukis tahun 60an Abdul Halim Teh (Keris Berpuaka- Sinaran Bros, Penang) dan Sailawati aka Alias Kulub melalui keberanian pelukis bermain dengan berus dakwat. Kerja-kerja inking komik ini turut diperkemaskan oleh tiga orang rakan pelukis iaitu Adie Mus (ms 31-41), Amykamen (ms 42-52) dan Zarulizman (ms 58-63). Para pembaca akan menikmati membaca komik dengan tenang. Jalan ceritanya dan plotnya digarap lancar. Dalam jilid pertama ini, pembaca dibawa ke kancah pertarungan Liga Pendekar dengan kumpulan jin pimpinan Jum Ba Lang.

Pelukis berjaya mengeksploitasi segenap ruang di muka surat, bercerita dari satu panel ke satu panel yang lain. Penulis, sedikit kagum kebolehan pelukis melukis agak terperinci dengan menggunakan maksimum 10 panel dalam satu halaman. Untuk jilid ke 2 yang akan datang, penulis mengharapkan pelukis cuba mengelakkan menggunakan dialog yang agak panjang serta belon dialog yang bersambung-sambung. Ianya memakan ruang panel yang telah sedia padat. Diharapkan juga, pelukis dapat menggunakan kaedah “shot” jarak dekat bagi menunjuk eskpresi wajah karekter-karekter dari jarak dekat. Barangkali, Mungkin lebih mengerikan jika wajah Jum Ba Lang dapat dilukis dalam shot yang demikian, ketika ianya merubah bentuk.

Di halaman pengenalan, Pengarah Urusan Creative Enterprise, Jaafar Taib menyeru sokongan pembaca kepada komik-komik tempatan. Turut memberi sokongan padu ialah rakan-rakan Urban Comics iaitu Aadi Salman, Kromosom, Timbalan Presiden Pekomik, Adie Mus, Zarulisman, Amykamen dan Timbalan Presiden Jabatan Multimedia Kreatif MSC, iaitu Kamil Ahmad Dato’ Mohd Othman. Akhir kata, penulis merakamkan setinggi tahniah kepada Azhar Abdullah, yang telah menerokai dan mewarnai hitam putih komik Malaysia, melalui projek yang dibiayai oleh MdEC dan MSC.

2 comments:

jOnOs said...

Resensi yang bagus bangat.

Tabik!

Kalamtimur said...

Tengkius, baru berjinak-jinak menulis resensi.

Tabik jugak!!