Saturday, August 27, 2005

Intermission: Begitu Acuan Begitulah Kuihnya


"Ciss..siapakah tuan hamba yang tiba-tiba ikut campur urusan kami?"

Si penjahat

Kelihatan kedua biji bola matanya bersinar dengan urat darah yang timbul dikelilinginya. Rambutnya yang panjang tidak terurus.

"Hehehe ...hihihi..."
Serikandi yang berselendang ungu itu ikut tertawa dan mengilai. Barangkali ada sedikit kelucuan pada percakapan lelaki yang menyapanya.

"Dan siapa pula tuan hamba berhak pula berkata demikian?"

"Minggir tuan hamba dari sini, biar aku habiskan riwayat kedua anak muda itu. Jika tidak dengan tuan hamba sekali hamba amuk" Si penjahat itu mengertak
"Siapakah yang mengirimkan kamu kemari?"

"Itu bukan urusan tuan hamba.Nyah tuan hamba dari sini." Setelah selesai dia berbicara, sipenjahat itu pun bingkas bangun lalu menerpa ke arah ketiga-tiga lawannya secara mendadak.

Ketiga-tiga mereka yang sudah bersiap sedia dari tadi memundurkan langkah mereka dan sekali gus menangkis sambil melepaskan jurus-jurus yang telah mereka pelajari. Jurus-jurus yang dilepaskan ketiga-tiga mereka secara berselang-selang itu membuat si penjahat itu termundur.

"Apakah adil kalau tuan hamba bertiga melawan hamba bersendirian?"

"Baiklah, biar hamba hamba sahaja yang tuan hamba hadapi. Nah terima penangan dari hamba."
Serikandi berselendang ungu pun membuat serangan ke atas sipenjahat itu. Tidak tertahan dia akan asakan dari penyerangnya.

Perkasa dan Megat Teri Alam yang sedikit kesakitan ketika serangan dari penjahat tadi sempat memulihkan tenaganya. Ketika si penjahat terpelanting ke arah mereka, Perkasa pun mengambil kesempatan menghadiahkan beberapa pukulan tepat mengenai bahagian-bahagian tertentu.

"Ciss, berani tuan hamba memukul curi."

Serikandi berselendang ungu terus menyerang tanpa memberikan peluang kepada si penjahat itu menyerang balas. Namun sebagai seorang berpengalaman dalam seni tarung, si penjahat itu sempat mengelak dan menumpukan perhatian kepada lawannya Perkasa. Megat Teri Alam pula mengambil posisi yang baik lalu membuat serangan dari sebelah kiri.

Serangan yang di buat kali ini seharusnya berhati-hati. Megat Teri Alam mengambil kesempatan dari kelekaan si penjahat. Laksana si Jenjan Putih, Megat Teri Alam membuka langkah dan bersiap sedia untuk menyerang. Si penjahat pun rasa hairan kerana hanya seseorang pendekar yang mengetahui gerak langkah ini.

Dia teringat akan peristiwa 20 tahun yang lampau....ingatannya mengimbau ketika dua orang pendekar Serendah Kebun Bunga diutuskan untuk menangkap Langkuik Si Helang Merah.
"Satu-satunya warisan Megat Kembar Ali? Gaya dan lagaknya seirasnya."

Perkasa pun mula berpadu tenaga lalu menyerangnya bertalu-talu. Sedikit pun tidak memberi bekas. Si penjahat lalu mendepangkan kedua belah tangannya seperti seekor helang.
Dia melompat ke udara dan menerkam semula untuk membuat serangan balas. Lagaknya bagai sekor helang mahu mencengkam mangsanya yang lebih kecil. Melihat akan demikian, Perkasa pun teringat akan ajaran gurunya Pemanah Helang, lalu ditusuk dengan pedang ke ari-arinya dari bawah. Tikaman dan tujahan hanya akan memberi bekas dan kesan sekiranya kaki lawannya itu tidak berpijak pada tanah....





No comments: