Showing posts with label Ini ada satu cerita. Show all posts
Showing posts with label Ini ada satu cerita. Show all posts

Tuesday, May 20, 2008

Durjana Pemetik Api

Genderang dan segala jenis alatan palu-paluan begitu gemuruh sekali dimainkan oleh 40 orang para pria. Begitu juga, petikan kecapi dan tiupan seruling yang merdu mendayu-dayu. Warga Penglipurlara keluar beramai-ramai untuk berlibur, bukan kepalang gembiranya mengamit di hati.

Malam yang tenang itu dilimpahi cahaya gemerlapan dari tembakan bunga api. Wah, betapa berderangnya cahaya dilangit waktu itu. Para pria dan sunti, berbondong-bondong keluar. Para ibu yang beranak kecil menonton tangan anak-anak mereka, dipegangnya kemas-kemas, khuatir akan kehilangan mereka ditengah-tengah khalayak. Gelanggang Penglipurlara yang bertingkat-tingkat itu dimandikan cahaya.

Pengawal-pengawal bertujuh, bertubuh sasa mengawal ketat akan Tok Ketua Wilayah Penglipurlara. Mereka bersiap siaga dengan kelengkapan perang. Malam itu, Tok Ketua Wilayah Penglipurlara akan mengadakan keramaian. Beliau akan merasmikan Sayembara Mencari Jaguh Adiwira Peringkat Ke 7.

Di atas pentarona yang indah-indah telah tersedia para perwakilan, mempamerkan reaksi wajah mengerunkan. Tok Ketua Wilayah Penglipurlara memulakan bicara, tutur kata diatur penuh sopan dan amat bermakna. Di malam perasmian itu, mereka dijamu dengan hidangan yang enak-enak.

Di satu sudut, seorang lelaki bertubuh yang sederhana tinggi, kurus memerhati dengan amat berhati-hati. Terukir senyuman. Dibelakangnya digalasnya kecapi. Di kalangan para perwakilan di kenali sebagai Durjana Pemetik Api.

Monday, May 19, 2008

Sidang Adiwira

Sementara itu, di Wilayah Penglipurlara, warganya berpusu-pusu ke sebuah pusat konvensyen bertaraf dunia. Yang pipih datang melayang, yang bulat datang bergolek. Ada yang menaiki kenderaan paling pantas dan ada yang berjalan kaki.

Apa yang istemewanya di pusat konvensyen tersebut? Bangunan yang tersergam itu begitu indah dihiasi dengan sepanduk-sepanduk berwarna warni. Warga yang datang itu turut memakai busana yang indah-indah belaka. Di ruang legar, terdapat kain pemidang lebar yang tertera tulisan mengalu-alukan kedatangan para warga yang berkunjung. Gambar-gambar yang menghiasi amat menerujakan.

Mengikut catatan yang tertera di kain pemidang itu, akan diadakan sayembara adiwira-adiwira dan adiwati-adiwati seluruh dunia. Para perwakilan dari negeri atas angin dan bawah angin akan berkampung di situ selama satu purnama. Mereka akan menunjukan kejaguhan dan kebijaksanaan masing-masing.

Penyambut-penyambut tetamu yang berdiri di sepanjang ruang legar turut mengenakan busana yang indah-indah. Tok Ketua Wilayah Penglipurlara tersenyum lebar di atas sambutan yang diberikan. Siapakah yang mewakili Wilayah Penglipurlara? Wilayah Matahari Terbit akan menghantar ramai adiwira dan adijagatnya yang hebat-hebat. Dengan khabar Otoroman telah pun bercucu cicit. Kroni-kroni Otoroman iaitu Si Giban Samurai Angkasa, Naru Entah, Dogolmon; khabarnya akan turut serta Wilayah Arakemi turut menghantar Sopoman, Orang Labah-labah, Orang Besi, Wanita Hebat dan lain-lain. Kapitan Arakemi, akan mengetuai pakatan adiwira dari Wilayah Atas Angin.




Wednesday, May 14, 2008

da diatas da, da dihadapan du..

Si Awang yang duduk tersandar di sebatang pokok putat, kepalanya sedang memikirkan sesuatu sambil tangan kanannya mencapai sebatang ranting kecil. Lalu dikuis-kuisnya di atas tanah. Dia mula melakar-lakar tanpa sengaja. Entah apa yang dilakarnya, kemudia dia pula mengeja namanya, alif wau nga. Lalu dipadamnya dengan tangan kirinya. Ditulisnya lagi perkataan-perkataan yang dia ingat dan pelajari. Entah dia sendiri buntu kerana banyak yang tidak dipelajarinya , almaklumlah entah berapa kali dia hadir di hadapan tok guru.

Dia kemudian melakar dengan huruf ga dan diikuti dengan huruf ya, lalu lam dan alif. Kemudian dia mengulang-ulang huruf tersebut beberapa kali. Dia teringat ejaan tersebut pada kitab yang pernah dibaca oleh rakan-rakannya. Kitab yang meriwayatkan cerita lucu dan jenaka. Suatu ketika kitab tersebut menjadi kegilaan ramai.

Perutnya kemudian senak, saraf-saraf adranelin kemudian mula mengalir dengan cepat. Matanya mula terasa berpinar-pinar. Secara tidak sedar, sejalur cahaya hijau kebiruan yang entah dari mana mengenai tubuhnya. Lalu, dia mengelupur seperti terkena kejutan arus letrik.

Monday, May 12, 2008

sim wau pa ra mim alif nun.

Setelah memperolehi kekuatan, badannya yang longlai kini terasa segar semula. Al-maklumlah hampir seminggu lepas dia menahan perutnya yang berkeroncong. Si Awang yang tersandar disebatang pokok pun bingkas bangun dan mula membuat sedikit senaman ringan. Tulang temalangnya yang tidak pernah berkerja, telah mengeluarkan bunyi-bunyi yang bermacam ragam.

Kerak nasi yang dihadamnya itu merupakan rezeki untuknya pada hari itu. Si Awang kemudian mencapai buntil bungkusan yang mengandungi sehelai pakaian. Dia bertekad untuk terus mengembara setelah kematian kedua orang tuanya. Kampung halamannya ditinggalkan setelah dia menerima segala macam kutukan dan kata-kata nesta. Dengan saiz badan yang agak besar itu lagi kuat makan, si Awang dikutuk-kutuk sebagai seorang yang pemalas. Sedangkan di kampungnya bermacam-macam kerja yang boleh di buat. Hatta untuk menebas halaman, membersih hutan belantara, dan mencuci pinggang mangkuk di warung-warung, terpaksa memanggil dari luar kampungnya. Ada yang datang dari kampung seberang, dan ada yang sanggup berenang dengan gaya bebas menyeberangi lautan luas terbentang. Mereka sudah tidak kira , hatta jerung-jerung sedang menunggu mereka.

Si Awang tidak peduli semua itu lalu di terus bertekad meneruskan perjalanannya. Tiba-tiba dia ternampak secebis kertas, pembungkus nasi lemak yang dibuang oleh seseorang di situ. Awang mencapai cebisan kertas yang dihurungi dua tiga ekor semut merah, yang menyedut sisa nasi lemak. Pada cebisan kertas itu, terdapat wajah seorang adiwira. Seluruh tubuhnya diselimuti pakaian persis pembalut nangka warna biru, dan dilehernya tersangkut kain berwarna merah. Lelaki yang tubuh sasa itu hanya bercelana kecil berwana merah diluar. Hik hik, geli hati si Awang melihat akan adiwira tersebut. Lalu dia mengeja dicebisan kertas itu..sim wau pa ra mim alif nun... Dia ingin kuat seperti lelaki penyelamat dunia itu.

Sunday, May 11, 2008

Awang Kerak Nasi

Bulu roma di tengkuk si Awang berdiri tegak. Dia berpaling kiri dan kanan untuk mendengar dari mana datangnya tangisan itu. Air sungai yang keruh kuning mengalir lesu. Di dalamnya terdapat segala macam sisa buangannya.

Tangisan itu semakin lama semakin kuat. Awang terdengar pula satu perbualan lain. Suara itu garau. Dia menoleh lagi, ke kanan dan kiri. Hutan yang dahulunya menghiasi sungai tersebut semakin gondol.

“ Apa yang engkau tangisi, wahai si Kerak Nasi ?” bertanya satu suara. Awang, cuba menskodeng dicelah ranting-ranting kering.

“ Beginilah tuan hamba, apa yang hamba kesalkan ialah manusia mempersia-siakan rezeki yang mereka perolehi.”

“ Hamba kurang mengerti, apakah yang tuan hamba maksudkan ? ” tanya Buih Emas.

“ Tuan hamba akan mengerti nanti, secebis rezeki seperti hamba ini mereka buang-buangkan inikan pula tuan hamba yang cantik sekilau emas.” Minyak beku yang berwarna kehitam-hitaman pun menyampuk.

“Benar seperti yang dikatakan oleh Kerak Nasi, itu wahai Buih Emas. Hamba yang hitam likat ini dahulu di gali dari perut bumi. Hamba ini dijadikan taruhan untuk menegak kuasa.. Manusia sanggup berperang, berbunuhan untuk mendapatkan hamba. Setelah mereka dapat, tengok rupa hamba ini tidak berguna lagi, setelah menjadi hitam dicampakkan hamba kemana-mana sahaja,” keluh si Minyak Beku.

“Hamba tidak kisah dan tidak peduli itu semua. Yang penting, hamba akan diletak ditempat yang paling mulia. Hamba akan menjadi perhiasan para wanita,” Buih Emas berkata dengan angkuh.

Kerak nasi lalu meninggalkan Buih Emas dan Minyak Beku. Ia dihanyut oleh arus sungai yang mengalir lesu. Ia berdoa agar dikutip oleh seseorang. Awang yang berhari-hari menahan kelaparannya terus menerkam pada kerak nasi. Dengan rasa bersyukur, dia terus mengisi perutnya dengan sekepal kerak nasi. Apa akan terjadi kepada si Awang, tidakkah dia mengetahui harga beras sudah melambung-lambung naik?