Semalam, cuti hari Sabtu digunakan sepenuhnya bersama famili. Tidak terlalu awal pagi, macam biasa selepas pukul 7.30 ke kedai depan taman, untuk mendapatkan naskah akhbar. Hari Sabtu, saya biasa membeli Utusan Malaysia. Semata-mata untuk mengikuti komik sahabat saya Ajif dalam sisipan Sigap. Komik BARAN dan lain-lain komik menjadi santapan pagi saya, sambil membelek-belek halaman berita yang lain. Hmmmmm....sambil pekena sekeping roti canai kari ikan selayang. Teh tarik dihirup perlahan-lahan sambi, memesan 3 keping roti canai dan 5 bungkus nasi lemak dari isteri pembuat roti canai. Setelah perut siap diisi, saya melunaskan RM10.00 untuk pesanan dan yang telah saya langsaikan. Itu pun telah diberi potongan harga sebanyak sepuluh sen. Pendek kata, antara RM 7.00 hingga RM 10.00 sepagi adalah untuk sarapan pagi bagi mereka yang terlalu rajin macam saya ini. Ini bermakna kita telah saling bantu membantu. Suatu tuntuan, bukan?
Anak-anak dan isteri seronok menjamu selera, sambil saya memandikan "buah hati pengarang jantung" kami, yang kelihatan tidak bermandi selama 1 minggu. Untuk menghantarnya di car wash, akan memakan masa dan saya mahu membuatnya sendiri, biarpun agak cincai. Kemudian, kami pun turun ke pusat bandaraya untuk membantu pemilik-pemilik kedai. Cukup selesa menipiskan isi kantung, sambil tangan terketar-ketar menghulurkan not-not yang berwarna ungu atau warna jingga. Itupun tujuan yang murni, membeli kelengkapan sekolah anak tinggal di asrama yang minta belikan. Saya tertarik dengan kapsyen majalah Dewan Bahasa. Sudah sekian lama tidak membaca DB, isu majalah kali ini mengupaskan bahasa karikatur dan kartun dalam karya-karya komik dan kartun. Turut memberikan pendapat dan pandangan dalam isu tersebut ialah Datuk Lat, Wan Zuhairi Wan Zainuddin, Hisham Salmin, kartunis Rosdi (Dee) dan lain-lain lagi dalam artikel-artikel yang ditulis khas oleh penulis-penulis DBP.
No comments:
Post a Comment