Monday, December 17, 2007

Jalan

Sebenarnya kalau ikutkan hati, banyak benda yang hendak ditulis lagi. Sesampainya di Kuala Kangsar, saya bercadang untuk bertemu sahabat-sahabat lama yang 20 tahun lebih tidak bertemu. Yang tinggal di pekan Parit Buntar, Seri Iskandar, dan Grik. Sahabat yang tinggal di Parit Buntar mengajak kami bermalam di sana sahaja. Oleh kerana sudah tersasul memasuki lencongan keluar ke Kuala Kangsar, saya teruskan sahaja ikut jalan lama melalui Bukit Berapit, Pasir Salak dan terus mencari penginapan kerana hari sudah petang.

Setelah mendapatkan tempat penginapan, kawan saya di Parit Buntar pun membuat panggilan untuk menayakan di mana kami berada. Saya memberi alasan mengatakan saya sakit belakang dan perlu rehat kerana membawa kereta lama sangat. Beberapa minit kemudia, saya turun ke bawah dan turun untuk minum teh tarik di seberang jalan- sambil menengok-nengok sekeliling. Terjumpa kedai Buku Taj, di situ terdapat banyak majalah komik termasuk yang terbaru di pasaran.

Petang itu, sahabat saya dari Grik itu tiba di tempat penginapan saya. Dia tiba dengan 3 orang anak-anaknya. Yang memandu Mitshubishi Titron tentu anak daranya yang kini belajar di USM. Saya masih ingat namanya. Ketika kecil selalu kami dukung-dukung dia. Amat berbesar hati dapat berjumpa sahabat yang dulu cukup aktif bersukan dalam permainan bola sepak dan ragbi. Beliau kini sudah bersara awal kerana masalah kesihatan buah pinggangnya. Dengan berkerusi roda, setiap 2 hari sekali terpaksa ke Hospital Grik untuk menjalani homodialisis. Telinga sebelah kanannya pun tidak beberapa hendak dengar. Amat terharu, saya berbual pendek dengannya dan yang pasti hati saya amat lega kerana Allah menemukan kami biarpun sesingkat masa.


Esoknya saya bercadang untuk ke Parit Buntar dan meninjau pekan Kuala Kangsar di tepi Sungai Perak. Setelah menikmati sarapan pagi, nasi lemak yang pedas dan teh tarik yang lazat kami meninggalkan bandar di raja itu lalu masuk ke lebuh raya. Sekali lagi, saya tersasul sehingga dan memandu terus menghala ke Ipoh/Kuala Lumpur hingga bertemu terowong Jelapang dan tol Jelapang. Saya berhenti selepas tol itu lalu membelok ke kanan. Berhenti seketika, tengok papantanda di sebelah kanan menghala ke Lumut. Wahhal saya meminta maaf kepada kawan saya itu lalu terus ke Simpang Pulai dan masuk ke Cameron Highlands sekali lagi sebelum menghala ke Kota Bharu.

Dua hari kemudian, sahabat saya itu mengikuti rombongan mempelai ke Dungun dan keesokan harinya kami bertemu di Kuala Terengganu. Dia dan famili bermalam satu malam kerana banjir sudah pun bermula di Johor, Pahang dan Kelantan. Jalan di Setiu menghala ke Kota Bharu ditutup untuk kenderaan ringan. Keesokan sebelum pulang saya bawa dia dan famili bersarapan nasi dagang Mak Ngah di Chendering. Tidak lupa saya call seorang lagi sahabat yang kini membuat pengajian lanjutan phd. Kami sama-sama bertanya khabar dan sebelum pukul 12.00, saya mengucapkan selamat jalan kepada sahabat yang hendak pulang ke Perak itu. Semoga tahun depan kami berjumpa lagi dalam siri Jalan-Jalan Cari Sahabat.

No comments: