Assalamualaikum semua, saya jumpa lagi satu site untuk tulis blog. Sebenarnya aku sudah lama perhatikan Wordpress ini yang sering disebut-sebut oleh tukang pancung, juga seorang founder komuniti pelukis dan penulis seMalaysia. Apa-apa pun terima kasih berbanyak-banyak kepada beliau.
Baca posting yang ditulis oleh sdr Alifstyle yang baru sahaja menulis tiga buah novel dalam 3 bulan cukup menyeronokkan. Wah, kaedah KJ yang disampaikan oleh Mentor PTS itu berjaya membuat pelukis ini menjadi penulis dalam masa yang pantas. Boleh aku applykan perkara yang sama dalam menulis skrip komik?
Inilah entri seorang yang bernama Alif di websitenya.
Ketika pihak Karangkraf sedang mencari team untuk 3 majalah terbaru mereka pada tahun 2004. Aku dan beberapa rakan yang sebelum ini giat menerbitkan komik pasaran underground turut mencuba nasib. Cik Firdaus (ketika itu dia masih bujang) membayangkan mahu menerbitkan lebih banyak komik tempatan. Mereka turut membayangkan mahu mencipta superhero tempatan, aku hanya diam mendengar perbincangan mereka. Dalam kepala aku telah terbayang komik aku akan terjual di kedai-kedai buku ternama jika aku berjaya menghasilkan komik mengikut standard mereka, ketika itu aku telah mendapat ilham untuk mencipta sebuah komik panjang, Aku tidak berani menyuarakannya pada mereka kerana aku tidak tahu mahu menceritakan melalui mulut. Perjumpaan pertama kali itu membawa kami melawat kilang cetak dan semua department majalah terbitan Karangkraf (lebih 30 department semuanya).
Seminggu selepas perjumpaan itu aku telah mula melukis komik panjang aku yang bertajuk ‘Orang Kuat’. Aku merancang untuk menerbitkan komik itu secara indiependent terlebih dahulu kerana aku rasakan komik itu terlalu personal dan radikal untuk pasaran tempatan. Apabila komik sepanjang 111 muka surat itu siap, aku menyerahkannya pada seorang teman aku di Indonesia, Ahmad Zeni, seorang pelukis kartun yang amat dikenali di sana. Aku menyerahkan kepadanya kerana konsep ‘Orang Kuat’ aku hampir sama dengan konsep komik yang sedang dia buat ketika itu, ‘Jangguter’. Atas maklumbalas yang memberangsangkan, aku mengubah beberapa babak karya versi pertama dan aku terbitkan semula untuk edaran tempatan dengan pertambahan mukasurat. Aku menjualnya dengan harga RM4.90, satu harga yang sangat murah bagi sebuah komik underground setebal 120 muka surat.
Pertama kali aku mencetak sebanyak 20 nashkah komik dan hasilnya memeranjatkan kerana kesemuanya habis pada hari pertama aku jual di Laman Seni KL yang diadakan di Balai Seni Lukis Negara. Editor Majalah STARZ, Encik Roy juga membelinya. Ada juga yang membeli 2 nashkah sekaligus sebagai simpanan peribadi. Ekoran itu, aku bercita-cita mahu menjual komik aku di kedai buku ternama.
Kebetulan pada masa yang sama aku sudah mula berkenalan dengan beberapa orang kuat PTS (sebuah syarikat penerbitan). Pada mulanya aku mahu menunjukkan komik aku pada mereka tetapi terpaksa aku abaikan kerana konsep komik aku itu agak lari dengan standard mereka. Maka aku ambil jalan untuk menjualnya sendiri. Sebagai langkah pertama, aku telah meninjau beberapa kedai buku di sekitar Bandar Sunway dan PJ Old Town yang berpotensi untuk menempatkan komik fotostat aku. Berkali-kali aku masuk kedai yang sama dalam seminggu tetapi mulut aku masih berat untuk meminta mereka menempatkan komik aku.
Mahu dijadikan cerita, ketika itu aku baru menamatkan pengajian aku seminggu sebagai pelajar aliran elektronik. Emak aku sudah mula bising suruh aku bekerja atau sambung belajar. Aku keluar dari rumah dengan berpakaian seperti orang pejabat, ke hulu ke hilir mencari pembeli yang sudi membeli komik aku. Ya, aku menjadi jurujual yang mempertaruhkan hasil karya sendiri di kaki lima di sekitar PJ Old Town. Aku tidak malu dan aku memang petah bercakap jika berbicara tentang komik terutamanya pada orang yang tidak berapa arif tentang komik (senang nak klentong). Lagipun aku telah lama menggunakan tektik penjualan seperti ini sewaktu aku sekolah di asrama dahulu. Malangnya nasib aku tidak berapa baik, aku kecundang setelah seharian aku gagal mencari pembeli.
Walaupun baru 2 minggu aku menjadi penganggur, jiran-jiran dan emak aku telah mula bising. Aku iri hati dengan kawan-kawan aku yang boleh sambung belajar dan berehat seketika di rumah. Bukan aku tidak boleh sambung belajar, aku pernah menjadi pelajar cemerlang 3 semester berturut-turut dan menjadi pelajar terbaik untuk matapelajaran Enggeris (hahaha, aku sendiri susah nak terima hakikat ini). Cuma aliran elektronik tidak mampu menarik minat aku untuk terus belajar. Dalam keadaan terdesak, aku menulis novel dan menghantarnya pada PTS Sdn Bhd. Ketika itu aku lakukannya semata-mata mahu memberitahu emak aku, aku seorang yang rajin bekerja dan tidak membazir masa walaupun dalam keadaan yang sama aku kehulu ke hilir mencari kerja, berjalan kaki dari Bandar Sunway ke Kelana Jaya di bawah terik matahari.
Tidak beberapa lama kemudian, nama aku tersenarai sebagai calon peserta Nescafe Kickstart. Sebuah rancangan yang menawarkan RM150 000 bagi peserta yang mampu menyakinkan para juri akan cita-cita mereka. Aku antara 300 peserta yang terpilih daripada 15 000 peserta yang telah mencuba nasib. Peliknya, nama aku tersenarai sebanyak 2 kali. Aku gunakan peluang itu untuk memperkenalkan komik aku. Malangnya aku tersilap langkah kerana aku bagi juri rancangan itu membelek komik indiependent aku yang mengandungi unsur-unsur 18 tahun ke atas (faham-fahamlah). Dalam tempoh itu, masa aku banyak dihabiskan untuk menjawab isu komik sensitif aku tanpa memberi aku peluang untuk menceritakan pengalaman dan kerja aku yang telah aku cipta sejak tahun 1998 lagi. Aku berasa sangat rugi kerana satu-satunya peluang untuk aku memasarkan komik sendiri melalui rancangan itu terkandas hanya kerana isu yang tidak sepatutnya berlaku. Mujur ada juga peserta pelukis komik yang berjaya, tahniah Haryati.
Sekali lagi aku tertekan. Satu kampung telah tahu aku gagal dalam rancangan realiti itu. Pernah aku cuba nasib menghantar kartun di tempat lama aku bekarya, iaitu di Gila-gila tetapi oleh kerana aku telah banyak buat komik ikut kepala otak sendiri, agak sukar untuk aku mengikut rentak mereka kembali walaupun beberapa tahun sebelum itu aku telah banyak bekarya bersama mereka (Gila-Gila dan Fantasi). mahu cuba nasib di Karangkraf, aku kurang yakin kerana ketika itu aku benar-benar sudah hilang keyakinan diri.
Tidak beberapa lama kemudian, Puan Norhazizam, manager PTS One telah memberitahu aku, mereka menerima 2 novel yang telah aku hantar pada mereka. Aku berasa bagai mati hidup semula. Lebih menyeronokkan lagi mereka memberi peluang pada aku untuk melukis kartun dalam novel itu. Maka terhasillah novel pertama aku ‘Untuk Syampoo’, novel pertama yang menggabungkan tulisan novel dan kartun strip dalam sebuah buku. Profesor Mulyadi Mahmood (profesor kartun dari UITM) adalah orang pertama yang beli secara langsung dengan aku. Buku itu juga terjual di kedai buku ternama. Aku seakan tidak percaya, cita-cita aku tahun itu untuk menjual buku di kedai buku terlaksana.
Memang benar, kegagalan mengajar kita erti perjuangan… Bukti, azam aku tahun lepas (2005) untuk menjual buku di kedai buku ternama bukan satu angan-angan.
1 comment:
Sdr Kalam,
Sekali lagi terima kasih banyak-banyak memberi liputan istimewa kepada seniman PTS yang istimewa ini. Terima kasih.
Post a Comment