Sunday, December 18, 2005

Kita bisa merancang.

Selepas saya pulang dari Kuala Lumpur hari itu, saya teruskan dengan niat untuk menyiapkan naskah skrip setelah berbincang dengan rakan sepasukan. Banyak perkara yang perlu dilakukan maklumlah tiada garis panduan penulisan skrip komik dalam Bahasa Melayu di pasaran dan internet. Plotting dan penulisan skrip terpaksalah saya belasah sesedap ikan Kerapu dimasak 3 rasa.

Insya Allah dalam minggu depan skrip itu akan disiapkan. Kalau tidak ada aral melintang, saya cuba melakukan sebaik mungkin. Itu pun dengan izin Allah. Sebut pasal izin Allah ini saya teringat banyak perkara. Salah satunya ialah pagi tadi saya bergegas ke lapangan terbang menjemput kakak dan adik ipar saya serta dua orang anak saudara yang datang dari Sabah. Kebetulan ramai orang yang menghantar bakal haji dilapangan terbang itu. Tiada ruang untuk meletak kereta, jadi saya pilih untuk menunggu dalam kereta sambil meletakkan kereta di belakang kereta orang lain. Mudah untuk saya mengalihkan kereta jika tuan punya kereta datang untuk mengambil keretanya.

HP saya berbunyi dan terdengar suara biras saya membuat panggilan. Dia menanyakan samada isteri dan adik ipar saya serta anak-anaknya sudah tiba atau tidak. Biras saya itu meminta saya menyampaikan takziah kepada isterinya. Suatu kejadian yang sudah diatur Allah swt sejak azali lagi telah berlaku.

Allah Maha Mengetahui dan Maha Penyayang. Kakak ipar serta adik ipar saya telah lama merancang untuk datang ke sini. Tujuannya ialah untuk menziarahi pusara emak mertua saya yang meninggal dunia di sini pada bulan September lalu. Berbalik kepada cerita tadi, abang ipar biras saya tadi itu dipanah petir ketika pergi memancing di laut bersama dua orang. Salah seorangnya ialah sepupu isteri saya. Dia seorang sahaja terselamat.

Adik ipar saya pula selalu pergi memancing dengan mereka. Oleh kerana adik ipar saya telah membeli tiket penerbangan, maka dia terselamat daripada kejadiaan itu. Mengikut perbualan adik ipar saya dalam kereta menuju ke rumah tadi, dia selalu mengikut dengan aruah dan kumpulannya memancing di laut. tempat itu memang banyak ikan-ikan yang besar seperti tenggiri, kerapu, pari. Mereka selalu membawa hasil yang lumayan. Sewaktu dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang Tawau untuk kesini kelmarin, keadaan cuaca memang agak buruk. Adik ipar saya telah cuba untuk menghubungi mereka untuk memaklumi keadaan cuaca itu dengan hp tetapi gagal. Adik ipar saya kelmarin rasa belah bahagi samada hendak datang atau tidak. Kami di sini sedang menunggu berita selanjutnya dari sana. Wallahu alam.


No comments: