Saturday, June 30, 2007

Komik akhbar hari Sabtu

Hari Sabtu, layan komik dan kartun di surat khabar. Tiga akhbar yang menjadi pilihan saya ialah Utusan Malaysia, Berita Harian dan KOSMO! Kenapa menjadi pilihan saya, sudah tentu saudara-saudara diluar sana telah dapat menduga kerana di dalamnya ada komik dan kartun.
Dalam KOSMO!, komik Gerimis Di Kuala Lumpur (Kromosom) telah masuk siri 208 dan pada hari Sabtu, giliran Shah dengan komiknya Satu Peluang siri 3. Saya suka dengan cara Shah bermainkan panel dan sekuens dalam komik ini dibandingkan dengan Upahan yang lalu. Komik Upahan mungkin dihasilkan dalam keadaan dateline yang agak mendesak. Mungkin terlalu awal saya membuat ulasan. Tunggu dan lihat setiap Sabtu. Untuk menunggu setiap Sabtu terlalu lambat. Apalah kiranya komik Shah pun turut disiarkan pada setiap Isnin hingga Khamis? Kartun Tuan Pendita (Acai) dan Tom Si Tomato (Piza) seperti biasa menghidangkan isi satira yang santai.
Sigap pula sarat dengan komik dan kartun. Pelukis/kartunis senior, encik Rizalman masih lagi berdrama dengan komiknya Amie Amiera. Ilustrasi kemas tetapi babak dalam komik ini panjang meleret-leret. Zaharudin Sarbini dengan komik klasiknya Hang Nadim, meneruskan kesinambungan membawa cerita rakyat bercorak sejarah. Umum ketahui, beliau merupakan ilustrator komik Klasik CESB dahulu. Wak Deraman sudah merajuk akibat sindiran orang-orang kampung. Beliau amat marah, itulah yang ditonjolkan oleh Ajif melalui komik Baran. Kartun-kartun Haru Biru (Alin), Jusoh.net (Acai), Jururunding (Kia) dan Din Burger (Nuek) tidak perlu dipertikai kerana lawak santai mereka. Mereka cukup arif menggunakan isu semasa, maklumlah kartunis residen dengan Utusan Malaysia. Hafiz dengan komik thrillernya, Luka. Teringat kepada cerita atau movie serangan Werewolf.
Dalam ruangan SABTU, Suliza cuba menceriakan kembali keadaan dan cuba berjenaka dengan lelaki yang bernama Jo. Siapa Suliza dan Jo? Boleh diketahui melalui komik Pencarian Tanpa Nokhtah (ZOY). Amirul telah dibawa ke dalam sebuah gua yang mempunyai radas-radas canggih oleh seseorang yang tidak dikenalinya. Apa motif orang tersebut membawa Amirul? Sebuah advencer sci-fi dan sama-samalah kita ikuti komik A.L.A.M oleh EG.
Celoteh Kaum Bapa (Mamat) menyentuh isu Chris Benoit, manakala Cerita Atuk (Deen) mengenai generasi yang lupakan sejarah kemerdekaan dan Mat Rempit (Yon), motor bertukar jadi transformers.

No comments: