Sunday, September 25, 2005

Serikandi Selendang Sutera Ungu

Imbas kembali

Selang beberpa lama, Perkasa dan Alam pun tertidur dalam keletihan. Selendang Sutera Ungu memandang ke arah wajah Perkasa dan Megat Teri Alam.
"Semoga Allah memberikan perlindungan kepada diri kamu. Aku tidak membiarkan sesiapa pun membinasakan anak rakan seguruku." Selendang Sutera Ungu berkata di dalam hati.

Serikandi Selendang Sutera Ungu pun lantas meninggalkan kedua anak muda di perbaringan. Sejurus kemudian dia pun pergi bersuci diri di salah sebuah air terjun yang dinamakan Air Terjun Telaga Tujuh. Betapa indahnya kejadian Allah swt akan kejadian alam ini. Begitu indah dan mengasyikan. Segala tumbuhan dan alam benda semula jadi memujii-muji dan bertasbih kepada Allah.

Pun begitu, walaupun usianya sudah memasuki 50an, Serikandi Selendang Sutera kelihatan masih muda remaja seakan-akan gadis berusia dalam 20an. Setelah mengambil wuduk, Serikandi Selendang Sutera Ungu pun kembali ke penginapannya yang dibina di cenuram berhampiran dengan Air Terjun Telaga Tujuh. Setelah mengerjakan solat asar, dia pun berdoa kepada Illahi semoga kedua anak muda ini cepat sembuh.

Pada masa yang sama di Serendah Kebun Bunga, telah dibawa perkhabaran sehingga ke pengetahuan Sri Bitara. Maka kecohlah seeisi mukim dan seantero negeri bahawa Megat Teri Alam dan Perkasa diserang hendap oleh kumpulan lanun. Dikhabarkan orang ramai perajurit yang mati dan yang hilang pun ada jua. Angkatan Megat Teri Alam dan Perkasa tidak tertahan akan menangkis serangan dari kumpulan yang dikatakan diketuai oleh penjahat Semerluki.

Manakala di sebuah tempat persembunyian di Pulau Aur berhampiran dengan Johor, Semerluki yang sedang bersiap-siap untuk membuat pelayaran menuju ke pantai timur. Si Jenjan Bangau Putih II kelihatan sudah dipersiapkan orang. Begitu gundah gulana dan remuk dendam hatinya, disampaikan berita kepadanya. Maka merah padam mukanya dan terngiang-ngiang telinganya. Siapakah gerangan penjahat yang telah menyamar sebagai Semerluki yang membuat serangan ke atas Megat Teri Alam dan Perkasa itu?

Maka gusar jugalah di hati Sri Bitara akan peristiwa itu. Lalu tidak senang duduk, berdiri pun tidak betah. Makan tidak lalu dan tidur pun tidak terlelap. Akan tetapi Perpatih Mulus dan Udai Prapacong tersangat gembiranya kerana segala helah dan muslihatnya hampir berjaya. Perpatih Mulus dan Udai Prapacong dilihat orang sedang bersukaria dengan tawa dan kelihatan seorang lelaki yang misteri sedang berdiri dihadapan mereka. Kelihatan begitu hebat dan sasa tubuh lelaki itu dengan lagak seorang pendekar yang tidak terkalah. Calang-calang pendekar usah merapatkan diri. Ibarat ular yang bisa menyusuri akar menjejas tiada.

No comments: