Wednesday, December 12, 2007

Tanah Tinggi



Gambar anak-anak dan teman baik (isteri saya)
plus seorang anak saudara saya yang paling montel tu.


Pakcik beraksi di taman strawberry

ada lagi kat Flickr

Sudah masuk 12 haribulan, maknanya 10 hari sudah tidak menulis entri di sini. Keadaan belum mengizinkan setelah balik bercuti-cuti ke Kuala Kangsar, Perak melalui Gua Musang-Cameron Highlands. Percutian yang tidak dirancang rapi.

Cadangan untuk ke Perak melalui Jeli-Grik, sambil menziarah sahabat yang telah lama tidak ketemu. Melalui Gua Musang-Lojing-Pos Blau memberi pengalaman baiu kepada kami sekeluarga. Dapat melihat pemandangan waktu senja berlabuh. Malam pun merangkak tiba, nampak dari kejauhan lampu-lampu berkelip tapak semaian di projek Di Raja Lojing bagaikan serangga kelip-kelip. Membelok ke simpang Cameron Highlands melalui Kg. Raja, untiuk mencari penginapan. Terus ke Brinchang, setelah mendapatkan dua buah bilik penginapan berehat seketika lalu turun untuk mencari kudap-kudapan. Perut pula terasa lapar.


Pelancong-pelancong tempatan sungguh ramai, maklumlah cuti sekolah. Banyak hotel-hotel sudah kehabisan bilik. Bas-bas persiaran pun banyak yang tersadai (berehat) di kanan dan di kiri jalan. Mujur dapat tempat parkir yang dekat dengan tempat penginapan. Angin berhembus menusuk ke tulang temalang. Sejuk sekali badan mengigil kerana hanya memaki baju T tanpa sweater. Teh tarik dan milo panas yang kami pesan cepat betul sejuk.


Setelah membayar makan, terus ke tempat penginapan dan singgah di sebuah kedai menyewakan komik. Saya terus membeli Powder#2 di situ. Belek-belek dan terus tertidur.

Keesokan harinya melawat Strawberry Park, minum teh dan menikmati pemandangan indah sambil menghirup udara bersih. Sebelum tengah hari, kami sudah berada di Tanah Rata dan kemudian turun tanah tinggi melalui 54 km jalan berliku dan berselekoh ke Tapah. Perjalanan terhenti sekejap kerana pekerja-pekerja Roadcare sedang melakukan pembersihan di setengah jalan yang berlaku tanah runtuh sekala kecil. Membersihkan cebisan daun-daun dan ranting-ranting besar yang gugur. Setibanya di pekan Tapah, berhenti rehat seketika di Masjid Pekan Tapah.